Ramai orang yang berhutang tidak sedar mereka telahpun bankrap kerana malas ambil tahu dan tidak mahu ambil tahu. Untuk maklumat, selepas tahun 2004, seseorang boleh dibankrapkan apabila hutang mereka melebihi RM30,000.00. Sebelum tahun tersebut, penghutang boleh dibankrapkan jika berhutang melebihi RM10,000.00 sahaja.
Antara situasi yang menyebabkan orang bankrap tanpa disedari adalah seperti berikut:-
1) Gunakan alamat rumah sewa ketika menandatangani perjanjian sewa beli @ perjanjian pinjaman. Selepas berpindah ke rumah sewa yang lain @ ke rumah sendiri, mereka terlupa untuk maklumkan kepada pihak Bank.
2)Tukar nombor telefon tanpa maklumkan pihak Bank
3) Tidak menukar alamat di dalam kad pengenalan selepas berpindah ke tempat lain. Lazimnya, mereka gunakan alamat ibu-bapa mereka ketika membuat pinjaman. Apabila tiada orang tinggal di alamat tersebut, surat-surat yang dihantar tidak sampai. (Lazimnya, firma guaman akan menghantar surat secara A.R. Berdaftar ataupun Pos berdaftar). Apabila tidak ada orang di rumah tersebut, posmen akan mengembalikan surat tersebut kepada firma guaman.
Dalam mana-mana perjanjian pinjaman biasa, terdapat klausa yang memaklumkan bahawa bank akan menghantar surat guaman ke alamat terakhir yang diketahui. Jika ada sebarang pertukaran alamat, peminjam wajib memaklumkan kepada pihak bank.
Selepas tidak berjaya menyerahkan Notis Kebankrapan secara serahan kediri, pihak Pemiutang Penghakiman akan memohon kepada Mahkamah untuk serahan ganti. Selalunya serahan ganti dibuat dengan 3 cara:-
1) Penampalan di Mahkamah Tinggi
2) Penampalan atau pengeposan di alamat terakhir yang diketahui; dan
3) Pengiklanan di akhbar tempatan
Seperti yang kita tahu, tidak ramai orang yang membaca iklan akhbar kecuali mereka yang mencari pekerjaan ataupun mencari apa yang mereka hajati. Tidak ramai orang yang membaca "Legal Notice" di akhbar.
Akibatnya, ramai yang tidak tahu mereka telah dibankrapkan.
Mereka hanya tahu apabila:-
1) Akaun bank telah dibekukan
2) Tidak boleh keluar negara
3) Dapat surat atau makluman daripada Jabatan Insolvensi
4) diberitahu oleh rakan yang ternampak iklan kebankrapan
5) apabila ingin bertanding jawatan politik
Jika anda baru tahu anda telah dibankrapkan, silalah hubungi Jabatan Insolvensi terdekat. Jika anda rasa anda tidak sepptutnya dibankrapkan, jumpalah peguam dan dapatkan khidmat nasihat mereka.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan